Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman

Setelah datang keluar pagar Bendahara, maka kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu. "Beri tahu Datuk Bendahara, katakan Nina Sura Dewana datang hendak mengadap." Maka dipersembahkan oleh penunggu pintu. Maka Bendahara pun keluar; maka Nina Sura Dewana pun masuklah mengadap Bendahara Seri Maharaja. Maka emas sepuluh kati itu dipersembahkan pada Bendahara; kata Nina Sura Dewana pada Bendahara. "Tunku, emas ini persembah sahaya akan pembeli sirih pinang." Maka kata Bendahara, "Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah." Maka Nina Sura Dewana pun bermohonlah kepada Bendahara Seri Maharaja, lalu kembali ke rumahnya.


Raja Mendaliar mendengar kata Kitul itu, maka Raja Mendaliar pun mengambil surat hutang Kitul, lalu dicarik-cariknya; kata Raja Mendaliar pada Kitul, "Yang hutang tuan hamba sekati emas itu, halallah dunia akhirat, tuan hambalah saudara pada hamba; kembalilah tuan hamba." Maka Kitul pun kembalilah ke rumahnya. Maka pada malam itu juga, diambil oleh Raja Mendaliar emas sebahara, dan permata yang baik-baik, dan pakaian yang indah-indah, dibawanya pada Laksamana Khoja Hassan, kerana pada zaman itu segala kaum Laksamana terlalu karib pada Sultan Mahmud Syah.
Setelah datang ke luar pintu Laksamana, maka ia minta bukai pintu; maka Raja Mendaliar pun masuklah mengadap Laksamana, maka segala harta yang dibawanya, semuanya disembahkannya kepada Laksamana. Kata Raja Mendaliar pada Laksamana, "Sahaya mengadap Orang Kaya ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya; kerana telah sahaya ketahui bahawa Datuk Bendahara hendak derhaka. Orang Kaya persembahkanlah ke bawah Duli Yang Dipertuan, sudah ia berbuat takhta kerajaan, menerupa ciu emas dan kaus emas; kasadnya hendak naik raja dalam negeri Melaka ini. Setelah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilanglah budi bicara akal yang sempurna itu, sebab disamun oleh harta dunia Bita ai' zahab Khuda nuqit walakin nina hasil ista, yakni: "Hei emas, Tuhan bukan engkau, tetapi kehendak hati berlaku olehmu." Maka kata Laksamana kepada Raja Mendaliar, "Baiklah, Hamba persembahkan dia ke bawah Duli Yang Dipertuan."
(ms 256)
No comments:
Post a Comment