Tun Mutahir Dijadikan Bendahara
ALKISAH tersebutlah perkataan Sultan Menawar Syah yang kerajaan di Kampar itu, telah mangkat; ada anak baginda seorang lelaki bernama Raja Abdullah, ialah menggantikan kerajaan ayahanda baginda. Maka Raja Abdullah pun mengadap ke Melaka. Maka oleh Sultan Mahmud Syah akan Raja Abdullah itu diambil baginda akan menantu, didudukkan dengan anakanda baginda saudara Raja Ahmad. Maka dinobatkan pula, bergelar Sultan Abdullah Syah; maka Sultan Abdullah pun kembalilah ke Kampar.
Hatta berapa lamanya, maka Bendahara Putih pun kembalilah ke rahmat Allah; maka dikerjakan bagindalah seperti istiadat Bendahara mati. Setelah sudah ditanamkan, maka Sultan Mahmud menyuruh kampungkan segala anak buahnya, barang yang patut jadi Bendahara. Pada masa itu ada sembilan orang yang patut menjadi Bendahara; pertama Paduka Tuan, kedua Tun Zainal Abidin, ketiga Tun Telanai, keempat Seri Nara Diraja, kelima Seri Maharaja, keenam Seri Wak Raja, ketujuh Tun Abu Syahid, kedelapan Tun Abdul, dan kesembilan Tun Bijaya Maha Menteri. Maka berdirilah berbanjar di hadapan istana Sultan Mahmud. Maka titah baginda, "Siapa di antara Orang Kaya-kaya ini yang akan jadi Bendahara?" Maka sembah Paduka Tuan, "Patik yang sembilan orang ini semuanya patut jadi Bendahara; barang siapa yang dikehendaki duli Yang Dipertuan, itulah jadikan Bendahara. "
(ms 205)
Adapun bonda Sultan Mahmud, saudara Tun Mutahir itu, ada menengok-nengok dari balik pintu. Maka kata bonda baginda itu, "Tuan, Pak Mutahirlah kata, jadi Bendahara," kerana sangat kasih baginda akan saudaranya itu. Maka titah Sultan Mahmud, "Pak Mutahirlah jadi Bendahara." Maka sekalian orang pun sukalah, dan segala saudaranya pun kabullah akan Seri Maharaja jadi Bendahara. Maka datanglah persalinan seperti mana adat Bendahara; dan dianugerahi karas bandan dengan selengkap alatnya. Adapun akan adat dahulukala, apabila orang jadi Bendahara, atau jadi Penghulu Bendahari, atau jadi Temenggung, atau jadi Menteri, dianugerahi baju sakhlat dan karas bandan dengan selengkap alatnya, tetapi Penghulu Bendahari, dan Temenggung, dan Menteri tiada berkobak, hanya Bendahara berkobak dan buli-buli dawat; jika jadi Temenggung dianugerahi tombak bertetarupan.
Setelah Seri Maharaja jadi Bendahara, bergelar Bendahara Seri Maharaja, maka negeri Melaka pun makin makmurlah, lagi dengan ramainya, kerana Bendahara Seri Maharaja terlalu saksama, serta adil dengan murahnya; dan terlalu baik budi pekertinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada merneliharakan segala dagang. Maka akan adat kapal dari atas angin apabila akan belayar ke Melaka, serta ia membongkar sauh, maka selawatlah malim, disahut nakhoda dengan segala kiwi, "Selamat Bendahara Melaka! Pisang jarum, air Bukit China; Bendahara Seri Maharaja." Maka sahut segala khalasi, "Orang berbayu tok, berbayur." Setelah itu belayarlah ia ke Melaka.
Adapun akan Bendahara Seri Maharaja, besar daripada Bendahara yang lain, jikalau ia duduk di balai dihadap orang di atas tikar pacar, di bawah tikar pacar itu di bentangi permaidani; jikalau raja-raja datang tiada dituruninya, sehingga diunjukkannya tangannya, katanya, "Naik tuan, naik tuan," melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka dituruni oleh Bendahara Seri Maharaja. Jikalau raja Pahang, Bendahara Seri Maharaja berdiri; maka raja Pahang naik duduk pada tempat Bendahara Seri Maharaja itu, dan Bendahara Seri Maharaja duduk hampir dekat.
Adapun akan Bendahara Seri Maharaja banyak anaknya; yang tua sekali lelaki, Tun Hassan namanya; terlalu baik rupanya, dan perdana lakunya; ialah menjadi Temenggung akan ganti ayahnya; akan istiadat Temenggung, mengatur orang (ms 206) makan di balairung. Adapun akan Tun Hassan Temenggung, apabila akan mengatur orang makan, maka ia memakai seberhana pakaian; berkain memancung, bersebai, berdestar berhalaman, bertajuk dan berkancing; maka ia berjalan di naga-naga mengatur orang makan itu, menunjuk-nunjuk dengan kipas, lakunya seperti pendekar yang tahu menari. Dan Tun Hassan Temenggung yang pertama melabuhkan baju Melayu, dan membesarkan pangkal tangan baju, dan memanjangkan tangan baju; akan dahulu baju Melayu kecil juga. Maka dipantunkan orang:
Murah dikata derji,
Empat hasta sehelai baju;
Muda berusul lela Manja,
Bagai mutia dalam teraju.
Tetapi akan Bendahara Seri Maharaja pun terlalu baik rupanya, lagi sangatlah hiasan; pada sehari enam tujuh kali bersalin pakaian, baju yang hadir juga seratus banyaknya, pelbagai rupa dan warnanya; destar yang sudah terikat pada kelebut dua tiga puluh semuanya, sudah dipakai belaka; cermin besar setinggi berdiri satu. Apabila Bendahara Seri Maharaja sudah berkain, berbaju, berkeris, dan bersebai, lalu naik duduk di buaian. Maka Bendahara Seri Maharaja bertanya kepada isterinya, katanya, "Tuan, tuan, destar mana yang patut dengan kain baju beta ini?" Maka kata Bendahara perempuan, "Destar anu itulah yang patut" Maka barang yang dikata oleh Bendahara perempuan itulah yang dipakai oleh Bendahara Seri Maharaja, Demikianlah hal Bendahara Seri Maharaja pada zaman itu, seorang pun tiada taranya.
Sekali persetua, Bendahara Seri Maharaja duduk dihadap orang banyak; maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala orang yang mengadap dia itu, "Mana baik hamba, mana baik si Hassan?" Maka sembah segala orang itu, "Baik juga Datuk daripada anakanda." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Salah kata tuan hamba itu, kerana hamba pun ada bercermin; pada mata hamba, baik juga si Hassan, kerana ia orang muda; tetapi termanis hamba sedikit." Maka sahut segala orang yang banyak, "Sungguhlah gerangan seperti sabda Datuk itu."
(ms 207)
………
Akan Seri Nara Diraja, kakak Bendahara Seri Maharaja jadi penghulu Bendahari juga; beranak lima orang, yang tua sekali lelaki, Tun Ali namanya; seorang lagi perempuan Tun Kudu namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud, disuruh panggil pada segala orang dalam "Datuk Tuan", (ms 210)
…….
No comments:
Post a Comment