SELENDANG TUN FATIMAH SUNDANG MELAKA
Ladin Nuawi
RINGKASAN
Tun Fatimah terkenal cantik, handal serta bijaksana. Dibesarkan dalam keluarga bendahara Melaka yang setia, pemurah, kaya, bijaksana dan disenangi oleh banyak pihak. Puteri kepada Seri Maharaja Tun Mutahir dan anak sepupu Tun Perak yang membuat Melaka luas negeri jajahan serta terkenal sebagai pusat perdagangan seantaro dunia.
Tun Fatimah lahir ketika keagungan kerajaan Melaka mengalami kemerosotan di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dan kemudiannya dijajah oleh Portugis. Ini ekoran nafsu, kemewahan dan perebutan pengaruh perdagangan bermaharajalela di kalangan keluarga Keling.
Menjelang pernikahan Tun Fatimah dengan Tun Ali, Tun Mutahir ditegur oleh Raja Dibaruh (ayah saudara Sultan Mahmud) kerana tidak terlebih dahulu mempersembahkan Tun Fatimah kepada Sultan. Melaka waktu itu ketiadaan Permaisuri, “permaisuri Pahang sudah mangkat; yang istiada raja Melayu, apabila tiada beraja perempuan, anak Bendaharalah akan jadi raja perempuan”. Tun Mutahir menolak kerana mereka adalah orang biasa. Hasil pernikahan Tun Fatimah dengan Tun Ali melahirkan seorang cahaya mata perempuan bernama Tun Terang.
Pada hari persandingan Sultan terpesona dengan kecantikan Tun Fatimah. “Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik anaknya, tiada ditunjukkannya kepada kita.” Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanya akan Bendahara Seri Maharaja.” Sejak ini Sultan sentiasa mencari salah Tun Mutahir.
Fitnah membara. Nina Sura Dewana bermasalah dengan Raja Mendaliar. Kitul pula bermasalah dengan Nina, kaum kerabatnya juga. Kitul mereka cerita yang Nina mengupah Tun Mutahir untuk membunuh Raja Mendaliar. Lalu Raja Mendaliar melupuskan hutang Kitul kepadanya. Raja Mendaliar segera pergi berjumpa dengan Laksamana Khoja Hassan dengan menyatakan yang Tun Mutahir sedang bersiap untuk merampas takhta Sultan. Laksamana gelap mata melihat harta persembahan Raja Mendaliar kepadanya. Sultan percaya dengan aduan Laksamana kerana dia adalah pembesar kepercayaan baginda.
Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara menjalankan titah Sultan dengan membunuh Tun Mutahir, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali. Sebelum itu Tun Mutahir melarang pengikutnya hendak menentang titah, “Hei Hassan! Hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka. … Barang yang telah berlaku, pada hukum Allah itu, hamba pun redalah.”
Pernikahan Tun Fatimah dengan Sultan membawa perubahan besar kepada Sultan dan kerajaan Melayu Melaka dan kerajaan-kerajaan di alam Melayu.
Sultan melihat harta pusaka Tun Mutahir, tiada satu pun bukti yang Tun Mutahir hendak menderhaka. Sejak ini Sultan berubah sikap. Sultan amat menyesal menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Setelah disiasat semua ini angkara fitnah Kitul dan Raja Mendaliar. Mereka dijatuhkan hukuman bunuh.
Sepanjang menjadi permaisuri, Tun Fatimah “terlalu sangat percintaannya akan ayahnya, Bendahara Seri Maharaja, selama ia duduk dengan Sultan Mahmud Syah itu, jangankan ia tertawa, tersenyum pun ia tiada pernah.” Ini menyebabkan Tun Fatimah keguguran. Sultan bertambah menyesal lalu Sultan turun takhta dan bersemayam di hulu Melaka. Anakandanya Raja Ahmad ditabal sebagai pengganti.
Sultan Mahmud berjanji dengan Tun Fatimah, “Jikalau tuan hamil sekali lagi, jangan dibuangkan; jikalau ia lelaki ialah kita rajakan.” Selepas itu Tun Fatimah hamil, tetapi kedua-duanya anak perempuan, iaitu Raja Putih dan Raja Khadijah.
(Portugis telah menyerang dan menawan Kota Melaka semasa pemerintahan Sultan Ahmad).
Tun Fatimah mengikuti suami dan Sultan Ahmad berundur ke Paguh, Pahang dan akhir sekali di Bintan di samping menyerang Portugis. Sepanjang di Bintan Sultan Ahmad masih ulangi perangai lama ‘membuang akmal raja-raja’, iaitu pilih kasih, tidak mempedulikan pembesar dan asyik bersuka ria dengan golongan muda. Sultan Mahmud menitahkan Sultan Ahmad dibunuh secara senyap. Anakanda Sultan Mahmud, Raja Muzaffar ditabal pula mengganti Sultan Ahmad. Raja Muzaffar ini bernikah dengan Tun Terang, anak Tun Fatimah dengan Tun Ali.
Semasa berundur dan membuka negeri di Kopak barulah mereka mendapat anak lelaki dan dinamakan Raja Ali. Sultan Mahmud menunaikan janjinya dengan menabalkan Raja Ali sebagai pengantinya dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah yang menggantikan Sultan Muzaffar Syah.
Tun Fatimah mangkat di Kampar (kini di bawah provinsi Riau, Sumatera). Kebanyakan raja-raja dan negeri-negeri Melayu sekarang datangnya daripada zuriat Tun Fatimah dengan Tun Ali dan dengan Sultan Mahmud.
(Ringkasan ini berpandukan buku Sulalatus Salatin, DBP, 1979, yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad).
No comments:
Post a Comment