Friday, September 23, 2011

MENGAPA TUN FATIMAH?


PENGENALAN
MENGAPA TUN FATIMAH?
Wanita Melayu Mulia


Mementaskan Teater Muzikal Melayu, ‘Selendang Tun Fatimah Sundang Melaka’ adalah satu tanggungjawab bangsa.

Memang wajar kerajaan Malaysia meletakkan nama Tun Fatimah sebagai gelaran anugerah tertinggi untuk wanita Malaysia yang boleh menjadi teladan. Bersepadan dengan sejarah hidup Tun Fatimah sendiri yang bertaraf dunia.
Sebagai sokongan kepada pengiktirafan kerajaan Malaysia kepada Tun Fatimah maka Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor (Srikandi Tun Fatimah) mengusulkan sebuah teater berkaitan Tun Fatimah dengan tajuk ‘Selendang Tun Fatimah, Sundang Melaka’.
Teater ini mengangkat nama Tun Fatimah selayaknya berdasarkan Karya Agung Melayu, Sulalatus Salatin, susunan A. Samad Ahmad, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka dan penyelidikan budayawan Melayu Pak Tenas Effendy (Tengku Nasaruddin Effendy) serta usaha penyelidikan oleh Ladin Nuawi dan Srikandi Tun Fatimah sendiri.
Nama Tun Fatimah tersebut dalam sejarah keagungan Kesultanan Melayu Melaka, sastera sejarah dan cerita lisan bangsa Melayu. Nama Tun Fatimah juga diabadikan untuk sekolah, pertubuhan, bangunan dan jalan-jalan di Malaysia hatta Indonesia. Tidak kurang juga dikisahkan semula dalam filem, drama, novel, cerpen, puisi dan kajian ilmiah.

Sejarah hidup Tun Fatimah setidak-tidaknya melalui tiga tahap penting.
Tahap pertama, Tun Fatimah lahir di zaman kemuncak Kesultanan Melayu Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah, 1488-1511. Melaka waktu itu luas tanah jajahan, menjadi pusat perdagangan dan pusat agama Islam.
Tun Fatimah membesar dalam persekitaran tokoh-tokoh yang mencorak keagungan Melaka seperti Tun Perak (bapa sepupu) dan Laksamana Hang Tuah. Tun Fatimah puteri kepada Seri Maharaja Tun Mutahir Bendahara Melaka yang menggantikan Tun Perak. Tun Mutahir terkenal setia, pemurah, kaya, bijaksana dan disenangi oleh banyak pihak.
Lumrah anak pembesar akan diserahkan menuntut dengan tokoh yang lengkap ilmu zahir dan batin. Tun Fatimah mempelajari ilmu persilatan dan agama dengan Hang Tuah yang telah menjadi darwis. Di samping itu juga untuk melindungi Tun Fatimah daripada nafsu serakah Sultan. Apabila meningkat dewasa Tun Fatimah bernikah dengan sepupunya Tun Ali dan dikurniakan puteri Tun Terang.
Tahap kedua, Tun Fatimah sebagai Raja Perempuan (Permaisuri) Melaka. Ini susulan titah hukuman bunuh oleh Sultan terhadap keluarganya – suami, ayahanda, abang (Tuan Hassan) dan bapa saudara (Seri Nara Diraja). Titah ini berpunca daripada fitnah Kitul dan Syah Bandar Raja Mendaliar yang menyatakan keluarga Tun Fatimah akan merampas kuasa Sultan.

Sultan berdendam dengan Bendahara Tun Mutahir kerana dahulunya tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepadanya. Sultan waktu sedang menduda dan ketiadaan Permaisuri. Sultan sendiri jatuh cinta berahi terhadap Tun Fatimah apabila melihat kecantikan Tun Fatimah di hari persandingan Tun Fatimah dengan Tun Ali.
Tun Fatimah sememangnya mampu membawa diri kerana mewarisi kekayaan keluarga. Juga, berupaya menolak kehendak Sultan berdasarkan maruahnya telah dicemari oleh Sultan. Pernikahan mereka membawa perubahan besar kepada Sultan dan kerajaan Melayu Melaka dan kerajaan-kerajaan di alam Melayu. Tun Fatimah satu-satunya balu yang menjadi permaisuri Sultan Melaka.

Tahap ketiga sepanjang kejatuhan Melaka. Di puncak kekuasaan, Sultan turun takhta. Sultan insaf apabila menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa dan mengikut nafsu terhadap keluarga Tun Fatimah. Didapati tiada bukti yang keluarga Tun Fatimah ingin merampas takhta. Kitul dan Raja Mendaliar dijatuhkan hukuman bunuh. Sultan menabal Raja Ahmad Syah sebagai pengganti. Sultan sekeluarga menjadi rakyat dan bersemayam di Kampung Kayu Ara, Hulu Melaka. Tun Fatimah reda mengikuti suaminya kerana suaminya telah membuktikan keinsafan yang mendalam.
Raja Ahmad tidak memerintah Melaka dengan baik. Akibatnya Melaka jatuh ke tangan Portugis. Demi mempertahankan maruah kesultanan Melaka, di Bintan, Sultan Mahmud menitahkan Raja Ahmad dibunuh secara senyap kerana ‘membuang akmal raja-raja’, iaitu membelakangi Pembesar Tua. Raja Muzaffar dilantik mengganti Raja Ahmad.
Sultan juga memenuhi janjinya dengan Tun Fatimah, jika Tun Fatimah melahirkan putera maka putera itu akan dilantik menjadi Sultan Melaka. Raja Ali (bergelar Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah) ditabalkan mengganti Raja Muzaffar. Sebelum itu mereka dikurniakan dua orang puteri, Raja Putih dan Raja Khadijah.
Sepanjang berundur dan bertempur dengan Portugis, Tun Fatimah sentiasa bersama-sama suami dan pahlawan Melaka menentang Portugis.

Sewajarnya Tun Fatimah menjadi rujukan Sultan Mahmud berdasarkan ketabahan menerima hukuman bunuh terhadap keluarganya, keredaannya menerima Sultan sebagai suami dan kesetiaan sepanjang hayat hidup bersama-sama Sultan dan kerajaan Melaka walaupun tinggal dalam buangan. Sewajarnyalah Tun Fatimah menjadi teladan untuk kita juga.
Tun Fatimah mangkat di Kampar (kini di bawah provinsi Riau, Sumatera, Indonesia). Kebanyakan raja-raja dan negeri-negeri Melayu sekarang datangnya daripada zuriat Tun Fatimah dengan Tun Ali dan dengan Sultan Mahmud.

Teks disediakan oleh: Ladin Nuawi

No comments:

Post a Comment